Anak Tidak Sah Taraf: Boleh Atau Tidak Bin/Binti Kepada Bapa?

Sehari dua ini admin terbaca di blog, akhbar dan TV berita anak tidak sah taraf boleh dibin/dibintikan kepada bapa yang mengaku bapanya yang sebenar selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Terkedu sekejap admin..

Apabila undang-undang sivil sudah boleh mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang telah digunapakai orang islam di Malaysia sejak 1981..

Takut juga nak berbicara hal macam ini jadi mari kita fahami dahulu apakah maksud anak tidak sah taraf yang dipetik daripada Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Maksud Anak Tidak Sah Taraf

Menurut Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 2. Tafsiran, anak ‘tidak sah taraf’ diertikan sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

Begitu juga melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-44 bersamaan 25 Jun 1998 yang mana lebih terperinci dalam mendefiniskan anak tidak sah taraf dengan mengatakan:

  • Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  • Anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
  • Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.
  • Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Mesti Baca: Prosedur Mengambil AnakAngkat/Anak Pelihara Di Malaysia

Wilayah Persekutuan melalui majlis fatwanya juga telah menjelaskan dengan menyebutkan:

“Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya) walaupun anak itu lahir hasil dari perzinaan.”

Penamaan Anak Tidak Sah Taraf

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah – Sumber

Daripada pemahaman admin, anak tidak sah taraf adalah anak yang lahir kurang enam bulan selepas tarikh pernikahan dan tidak boleh dibin/dibinti kepada bapanya.

Jika anak tersebut lahir selepas enam bulan tarikh pernikahan, maka boleh dibin/dibinti kepada bapa yang menikahi ibunya.

Mahkamah Rayuan Putuskan Anak Tidak Sah Taraf Boleh Bin/Binti Kepada Bapa

Dalam satu keputusan penting, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa, dan bahawa fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Mesti Baca: Kenali Tanda-Tanda Anak Autisme, Semak Sekarang!

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada si bapa telah memenuhi syarat-syarat Seksyen 13A (2) Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA).

Ini merangkumi semua kanak-kanak yang dikandung di luar nikah, sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Keputusan itu dibuat dalam rayuan yang melibatkan seorang anak berusia tujuh tahun, yang dilahirkan lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam) setelah orang tuanya menikah – Sumber

JPN Kekal Status Anak Tidak Sah Taraf Sehingga Keputusan Mahkamah Persekutuan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meneruskan penasaban anak tidak sah taraf orang Islam seperti “sedia ada”.

“Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh,” kata ketua pengarahnya Datuk Mohd Yazid Ramli dalam kenyataan.

Mesti Baca: Cara Dan Prosedur Poligami Di Malaysia

Kenyataan empat perenggan itu bagaimanapun tidak menyebut dengan jelas maksud “sedia ada” itu, atau sama ada jabatan itu akan mengikuti keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan atau tidak.

Bagaimanapun, Mohd Yazid memetik keputusan Mahkamah Tingi sebelum ini.

Katanya, bawah undang-undang Islam, tidak dibenarkan kanak-kanak dibinkan dengan orang yang mengaku sebagai bapa jika lahir kurang daripada enam bulan qamariah daripada tarikh
perkahwinan.

“Oleh itu, tindakan yang dilakukan oleh JPN adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya – Sumber

Bagaimanakah pendapat anda tentang isu bin/binti anak tidak sah taraf ini?

Admin tak berani berkata lebih sebab ianya boleh mengguris perasaan ibu bapa yang terbabit..

Anak tersebut tidak bersalah tetapi masyarakat kita suka menghukum orang lain tanpa usul periksa..

Apapun, admin tetap berpegang kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/dibinti kepada bapa.

Kita tunggu keputusan Mahkamah Persekutuan pula nanti..

No Responses

Leave a Reply

error: Content is protected !!