Cara Pembahagian Daging Korban

Ibadah korban atau ada yang menulisnya sebagai qurban sangat digalakkan dalam islam dan ibadah ini dilakukan pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Jom kita baca serba sedikit cara pembahagian daging korban.

Walaupun ibadah korban ini adalah sunat tetapi ianya mempunyai pembahagian yang tersendiri. Dalam pembahagian daging korban ini ianya terbahagi kepada dua iaitu:

  • Korban Wajib (Nazar)
  • Korban Sunat

Cara Pembahagian Daging Korban

1) Korban Wajib (Nazar)

Korban Wajib atau Nazar wajib disedekahkan kesemua dagingnya termasuk kulit dan tanduk kepada fakir miskin.

Orang yang melakukan korban wajib ini tidak dibenarkan iaitu haram mengambil walau sedikit pun daripada daging korban tadi. Orang yang berkorban dan ahli keluarganya tidak boleh memakan walau sedikit pun daripada korban nazar tadi.

Cara Pembahagian Daging Korban

2) Korban Sunat

Korban sunat hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

  • 1/3 daripada keseluruhan daging korban tersebut dibahagikan kepada 7 orang yang terlibat sebagai peserta itu. Ini bermakna hanya 1/3 sahaja yang boleh diambil untuk dibahagikan kepada penama-penama yang terlibat.
  • 1/3 lagi pastikan daging korban tersebut sampai kepada fakir miskin dalam Qariah tersebut. Ini perlu diberi perhatian khusus kerana terdapat fakir-fakir miskin ini yang tidak sampai daging korban kepadanya walaupun sebenarnya kepada golongan inilah yang sepatutnya daging korban itu diberikan.
  • 1/3 lagi daging korban tersebut boleh dihadiahkan kepada sahabat termasuk jiran-jiran dan orang-orang kaya.

Cara pembahagian daging korban paling afdhal adalah tuan punya korban mengambil sedikit daripada daging korban tadi dan selebihnya disedekahkan.

Ini adalah perbuatan Nabi SAW iaitu Nabi mengambil sedikit daripada daging korbannya untuk dimasak dan Nabi memakannya. Jadi disunatkan kepada kita memakan sedikit daripada daging korban tadi untuk mengambil barakah dan mengikut sunnah Nabi SAW.

Mengenai pembahagian daging korban kepada orang bukan Islam, para ulama berbeza pandangan ada yang mengharamkannya dan ada yang mengharuskannya. Menurut Mazhab Syafie adalah tidak harus memberikan daging korban ataupun akikah kepada yang bukan Islam.

Para ulama sepakat tidak boleh memberi daging korban dan akikah wajib iaitu yang telah dinazarkan kepada yang bukan Islam. Tetapi perbezaan pandangan ulama adalah tentang pemberian korban sunat dan akikah sunat.

Ada juga pandangan hendaklah diberikan kepada mereka daging daripada hasil lain maksudnya bukan daripada korban tadi. Kalau kenduri hendaklah beli daging lain dan masak dan jemputlah mereka makan daging akikah tadi tetapi tidak dimakan oleh orang bukan Islam.

Pandangan yang mengharuskan memberi daging korban sunat dan akikah sunat boleh diamalkan di Malaysia kerana masyarakat majmuk di sini. Janganlah Islam itu dianggap terlalu ketat sehinggakan ada perbezaan dalam pemberian daging.

Orang bukan Islam pun faham ibadah korban hanya untuk umat Islam dan mereka perlu faham jika mereka tidak mendapat daging korban tadi. Tetapi jika mereka dijemput dalam majlis yang dianjurkan seperti kenduri akikah maka tidak ada masalah kalau mereka memakan daging tersebut sebab itu adalah akikah sunat.

Begitulah serba sedikit cara pembahagian daging korban yang perlu kita ambil tahu. Jika ada rezeki lebih bolehlah kita melakukan ibadah korban atau qurban ini kerana pahalanya sangat besar.

Binatang korban itu juga akan menjadi tunggangan kita di akhirat nanti. InsyaAllah..

Cara Pembahagian Daging Korban

Leave a Reply

error: Content is protected !!