Enam Maut Kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA)

Setakat berita ini ditulis enam maut akibat kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang membabitkan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di tingkat dua bangunan utama hospital berkenaan pagi ini.

Enam kematian itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Twitter rasminya. Menurut laporan, mangsa korban terdiri daripada 4 wanita dan 2 lelaki, manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat 2 unit rawatan rapi (ICU) selatan HSA.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah berkata seramai 166 anggota bomba dan 10 jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 8.56 pagi tadi.

Siasatan awal punca kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) adalah daripada litar pintas dan kebakaran disedari kakitangan hospital yang bergegas menyelamatkan pesakit yang berada di dalam hospital berkenaan.

Kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA)

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba bagi meninjau lokasi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan memantau operasi dan menyelamat di hospital tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan akan menyalurkan bantuan bersesuaian kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat bagi meringankan beban ditanggung akibat kejadian ini.

Beliau juga berkata pihaknya mengalu-alukan hospital swasta yang sedia menghulurkan bantuan bagi penempatan sementara pesakit hospital tersebut yang perlu dipindahkan segera kerana siasatan lanjut perlu dibuat di hospital berkenaan susulan kebakaran itu.

Semoga keluarga mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) tabah dengan kejadian yang meggemparkan negara ini.

Diharapkan orang ramai tidak menyebar berita kurang tepat susulan kejadian ini dan hulurkan bantuan kepada keluarga mangsa jika mampu dan berkesempatan.

Leave a Reply

error: Content is protected !!