Fenomena Air Pasang Besar Bawa Banjir

Fenomena air pasang besar berlaku apabila air laut melimpah ke kawasan pantai dan membanjiri kawasan sekitar seperti yang berlaku kepada beberapa buah negeri ketika ini iaitu Selangor, Kedah dan Perak.

Fenomena air pasang besar sebenarnya kejadian normal yang disebabkan oleh daya tarikan graviti matahari dan bulan yang menentukan pasang surut air laut. Kejadian air pasang berlaku 2 kali setiap bulan apabila posisi bumi selarai dengan matahari dan bulan yang biasanya bertepatan dengan tarikh 1 dan 15 haribulan dalam kalendar Islam.

Fenomena Air Pasang Besar

Tetapi, fenomena air pasang besar kali ini menunjukkan fenomena luar biasa. Peningkatan paras air pasang luar biasa berlaku akibat tarikan graviti bulan yang tinggi kerana bulan berada sangat hampir dengan bumi.

Dalam masa tertentu setiap tahun, posisi bulan dan bumi akan berada pada jarak paling hampir. Oleh sebab itulah jika kita melihat bulan mengambang dalam tempoh beberapa hari ini kita akan dapati saiznya sedikit besar dari apa yang biasa kita lihat.

Faktor Lain Menyumbang Fenomena Air Pasang Besar

Ada beberapa faktor lain yang telah menyebabkan fenomena air pasang besar menjadi lebih buruk. Angin kuat serta hujan lebat semasa kejadian telah mengakibatkan ketinggian ombak meningkat dan pada masa yang sama paras air sungai melimpah akibat hujan yang berlaku.

Apabila air sungai semakin tinggi dan keadaan laut bergelora maka air pasang tinggi melebihi paras biasa, air mula melimpah lalu mengakibatkan banjir kilat. Fenomena ini bukan saja berlaku di Malaysia, malah dirasai hampir di seluruh dunia.

Beberapa bandar di Vietnam, Indonesia sehinggalah Amerika Syarikat (AS) juga terkesan akibat air pasang besar ini. Keadaan angin kuat serta cuaca buruk yang menyebabkan hujan lebat di negara berkenaan semasa kejadian air pasang itu telah menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan banjir kilat, sama seperti apa yang kita alami.

Fenomena Air Pasang Besar

Keadaan cuaca dunia yang semakin tidak menentu turut penyumbang utama kepada kekerapan kejadian seumpamanya untuk berlaku. Memandangkan air pasang surut ini sesuatu yang mudah diramal, orang ramai dinasihati untuk lebih peka pada masa akan datang terutamanya terhadap cuaca persekitaran semasa tarikh fasa anak bulan dan bulan mengambang.

Ini kerana pada waktu inilah paras air pasang mencapai tahap maksimum. Sekurang-kurangnya persediaan awal mampu untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini. Sumber

Air pasang besar yang luar biasa diibaratkan seperti tsunami kecil kerana limpahan air laut akan membanjiri bandar persisiran pantai dan menyebabkan kemusnahan harta benda dan boleh meragut nyawa.

Orang ramai yang tinggal berhampiran laut hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga dengan fenomena air pasang terutama penduduk di Pantai Timur Malaysia yang akan berdepan musim tengkujuh tidak lama lagi.

Leave a Reply

error: Content is protected !!