Menu

Kanak-Kanak Kurang Tidur Boleh Jadi Gemuk

Masalah kanak-kanak kurang tidur bukan perkara baru dan boleh dikatakan ramai ibu bapa menghadapi masalah ini. Apa yang membimbangkan masalah kanak-kanak kurang tidur ini memberi implikasi kesihatan kepada kanak-kanak tersebut.

Masalah Kanak-Kanak Kurang Tidur Boleh Jadi Gemuk

Mengikut kajian terhadap 250 kanak-kanak, mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi berisiko untuk mengalami pertambahan indeks jisim badan (BMI). Baca artikel Kanak-Kanak Kurang Tidur Boleh Jadi Gemuk yang dipetik daripada Utusan Malaysia.

PADA 2011, saintis New Zealand mengeluarkan kenyataan bahawa kanak-kanak yang kurang tidur lebih berisiko untuk menjadi gemuk.

Mengikut kajian terhadap 250 kanak-kanak, mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi berisiko untuk mengalami pertambahan indeks jisim badan (BMI).

Kenyataan tersebut turut dipersetujui Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin, ketika ditemui pada majlis perbincangan meja bulat bertajuk Membesar Tanpa Gula Tambahan, anjuran Fonterra, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, perkara ini terjadi, apabila seorang kanak-kanak itu kurang tidur secara tidak langsung akan meningkatkan selera makan selain mengganggu kadar metabolisme.

Kurang tidur mengubah tindak balas badan terhadap hormon leptin dan ghrelin yang sangat penting dalam mengawal selera makan, pemilihan makanan, dan penggunaan tenaga.

Dalam erti kata lain, kekurangan tidur akan menyebabkan ketidakseimbangan kedua-dua hormon tersebut, seterusnya memberi tekanan terhadap selera makan.

“Apabila kanak-kanak tidak tidur dalam jumlah yang sepatutnya, masa tersebut akan diluangkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti menonton televisyen.

“Aktiviti ini secara tidak langsung akan meningkatkan kuantiti makanan yang diambil seperti memakan makanan ringan kerana banyak masa yang terluang.

“Bukan itu sahaja, masalah kekurangan tidur juga akan mempengaruhi pengeluaran penggunaan tenaga di mana kanak-kanak ini akan berasa letih. Ini akan mengurangkan aktiviti fizikal (senaman) yang sepatutnya mereka lakukan,” tambahnya.

Masalah Kanak-Kanak Kurang Tidur Boleh Jadi Gemuk

Untuk itu, Dr. Muhammad Yazid menyarankan tempoh masa tidur yang terbaik untuk kanak-kanak berumur antara satu dan dua tahun ialah 12 hingga 14 jam sehari.

Kanak-kanak berumur antara tiga dan empat pula antara 11 hingga 13 jam sehari, manakala untuk kanak-kanak yang sudah bersekolah disarankan agar tidur antara 10 hingga 11 jam sehari.

Bagi remaja pula mereka disarankan untuk tidur selama tujuh hingga sembilan jam sehari kerana jika mereka kurang atau terlebih tidur, berisiko mendapat masalah sindrom metabolik.

Hari ini statistik menunjukkan bahawa seorang daripada lima orang kanak-kanak di negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Sementara itu, menurut laporan daripada Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) pada 2011 mendapati sebanyak 5.4 peratus atau lebih daripada 477,000 orang kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun mengalami masalah obesiti dan peratusan ini semakin meningkat pada tahun 2015 kepada 11.8 peratus.

Baca Juga: Anak Susah Makan? Cuba Tips Ini

Sudah pasti angka ini amat memeranjatkan berbanding kajian 10 tahun lalu (2006) yang menunjukkan hanya empat peratus mengalami masalah obesiti.

Apa yang dikhuatiri, ialah daripada masalah ini (obesiti dan berat badan berlebihan) kanak-kanak tersebut bukan sahaja berkemungkinan menjadi individu dewasa yang gemuk,,malah mereka juga berisiko tinggi untuk menghidap pelbagai jenis penyakit.

“Kanak-kanak yang kekal dengan masalah obesiti pada dekad pertama hidup mereka, 80 peratus daripadanya berisiko ‘membawa’ bersama-sama masalah tersebut sehingga dewasa.

“Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang mengalami kedua-dua masalah ini turut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes mellitus jenis 2, penyakit kardiovaskular, dan sebagainya.

“Yang paling ditakuti ialah kanak-kanak ini akan mengalami masalah kurang keyakinan diri diakibatkan keadaan diri mereka yang tidak seperti kanak-kanak lain,” ujarnya lanjut.

Beritahu Dr. Muhammad Yazid, selain mengawal dan menjaga tabiat tidur anak-anak, aspek pemakanan turut memainkan peranan penting.

Pengambilan gula secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak juga merupakan salah satu faktor penyumbang kepada masalah obesiti dan berat badan berlebihan.

Dalam hal ini ibu bapa seharusnya mengetahui jumlah gula yang tersembunyi dalam makanan yang diambil oleh anak masing-masing.

Oleh yang demikian ibu bapa dinasihatkan agar berhati-hati dengan perkataan-perkataan seperti sukrosa (sucrose), laktosa (lactose), fruktosa (fructose), glukosa (glucose), dan maltosa (maltose).

Kesemua perkataan tersebut mewakili pelbagai jenis gula. Yang penting, baca senarai kandungan bahan-bahan di bahagian label makanan sebelum membeli. Sumber

Ibu bapa disaran mengambil perhatian serius jika anak mereka mengalami masalah kurang tidur ini. Anak yang gemuk memang nampak comel tetapi mereka berdepan masalah kesihatan jika tidak dikawal pada peringkat awal pembesaran.

Tambahan pula anak yang obesiti biasanya tidak dapat menyertai rakan-rakan mereka bersukan kerana masalah kegemukan yang membataskan pergerakan dan cepat letih.

Masih belum terlambat untuk membuat perubahan. Terapkan dalam memori bahawa kanak-kanak kurang tidur boleh menggemukkan anak anda. Elakkan perkara ini berlaku jika anda sayangkan masa depan mereka.

No Comments

Leave a Reply

error: Content is protected !!