Menu

Anak Nampak Lemah? Mungkin Cacing? Kenali Punca, Tanda Dan Cara Mencegah Cacing

Kecacingan bukan perkara baru dalam isu kesihatan kanak-kanak bahkan telah menjadi masalah global terutama di negara-negara miskin. Di Malaysia, masalah cacing dalam kalangan kanak-kanak berada pada tahap yang tidak membimbangkan berikutan peningkatan kesedaran tentang kesannya terhadap kesihatan secara umum. Penting untuk ibu bapa mengenali punca, tanda dan cara mencegah cacing supaya ianya tidak memudaratkan kesihatan anak-anak.

Punca, Tanda Dan Cara Mencegah Cacing

Begitupun, masih ramai ibu bapa gagal mengesan tanda-tanda jangkitan cacing berlaku pada anak-anak mereka. Masalah ini lebih kerap dialami kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman, terutama yang jauh daripada kemudahan kebersihan dan kesihatan.

Cacing ada di sekeliling kita, bukan sahaja di dalam tanah tetapi juga dalam makanan mentah yang tidak dicuci seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan permukaan yang kotor.

Cacing akan masuk ke dalam tubuh manusia apabila mereka termakan telur cacing di dalam makanan yang dimasak secara tidak sempurna.

Kenali Punca, Tanda Dan Cara Mencegah Cacing

  • Selain pemakanan yang tidak bersih, jangkitan cacing juga boleh melalui persekitaran sekiranya kulit terdedah kepada telur cacing secara terus, misalnya tidak memakai selipar atau bermain pasir tanpa pengawasan.
  • Faktor kepadatan pusat penjagaan atau sekolah yang tinggi juga memudahkan jangkitan disebarkan daripada seorang kanak-kanak kepada rakan sebayanya melalui persekitaran atau permukaan yang tercemar.

Cacing-cacing ini mampu hidup di dalam usus, darah serta organ manusia sehingga bertahun-tahun lamanya dengan mendapatkan makanan melalui nutrien yang terdapat di dalam usus sewaktu proses penghadaman.

Punca, Tanda Dan Cara Mencegah Cacing

Kebiasaannya cacing hidup di dalam usus manusia tetapi tidak menyebabkan gejala yang nyata kecuali jika ia menembusi dinding usus dan berpindah ke bahagian atau organ badan yang lain.

Mesti Baca: Kenali Tanda-Tanda Anak Autisme, Semak Sekarang!

Antara yang membimbangkan ialah sekiranya berlaku komplikasi pada sistem pernafasan atau jantung.

Tanda-Tanda Anak Dijangkiti Cacing

Di antara tanda-tanda anak dijangkiti cacing adalah mereka akan mengalami simptom dan perubahan fizikal dan mental seperti:

  • Kegatalan di kulit kaki dan lubang dubur
  • Perkembangan fizikal yang perlahan
  • Kurang fokus di dalam kelas

Cara Mencegah Gejala Kecacingan Kepada Anak

Kecacingan memang merisaukan. Melihat anak-anak yang tidak aktif dan pucat pasti membautkan ibu bapa tidak sedang duduk tetapi masalah cacing boleh dicegah. Di antara cara mencegah cacing masuk ke dalam tubuh anak-anak adalah seperti:

  • Ibu bapa perlu mengajar anak mengamalkan kebersihan sejak kecil. Misalnya, cuci tangan setiap kali keluar tandas, sebelum dan selepas makan, jangan benarkan anak-anak bermain di luar rumah tanpa memakai kasut dan pastikan kuku mereka sentiasa pendek.
  • Makanan yang dimakan mentah perlu dicuci dengan bersih di bawah air mengalir, pastikan daging dan ayam dimasak sehingga benar-benar masak, jangan makan daging panggang setengah masak kerana mungkin mengandungi larva cacing yang masih hidup
  • Sekiranya menggunakan tandas awam, pastikan anda bersihkan¬†mangkuk tandas sebelum duduk di atasnya

Lima Jenis Cacing Yang Biasa Masuk Ke Dalam Tubuh Manusia Dan Simptom Yang Berlaku

Kita sudah mengetahui punca, tanda dan cara mencegah cacing. Tetapi, adakah kita mengetahui jenis-jenis cacing yang biasa menjangkiti anak-anak?

Lazimnya, terdapat lima jenis cacing yang biasanya menjangkiti kanak-kanak iaitu cacing gelang, cacing benang, cacing cangkuk, cacing kerawit, dan cacing pita.

1. Cacing gelang

Jenis cacing yang paling lazim menjangkiti kanak-kanak, khususnya prasekolah dan dianggarkan menjangkiti 25 peratus penduduk di seluruh dunia.

Cacing gelang hidup di dalam usus kecil dan menghasilkan banyak telur. Telur ini kemudiannya keluar bersama najis. Dari sini ia boleh menjangkiti orang lain jika tiada amalan kebersihan yang baik. Telur cacing gelang boleh bertahan lama di dalam tanah dan boleh memasuki tubuh badan melalui makanan mentah.

Makanan mentah seperti ulam, salad atau buah-buahan boleh menjadi ejen paling berkesan untuk memindahkan telur cacing dari tanah ke dalam badan manusia dan ia perlu dibersihkan dengan air mengalir. Kebanyakan kes jangkitan cacing gelang tidak menunjukkan gejala.

Mesti Baca: Anak Susah Makan? Cuba Tips Ini

Bagaimanapun, ada juga kanak-kanak yang mengalami sakit perut, muntah atau sukar membuang air besar. Cacing ini juga menyebabkan kanak-kanak batuk teruk pada waktu malam.

2. Cacing Kerawit

Biasa dijumpai di kawasan pedalaman terutama jika kanak-kanak berkaki ayam. Cacing kerawit memasuki badan melalui kulit. Larva (anak cacing yang baru ditetaskan) memasuki usus kecil dan tinggal selama beberapa tahun.

Jangkitan cacing kerawit boleh menyebabkan kehilangan darah yang kronik dan pesakit mengalami anemia serta kekurangan zat besi. Jika tidak dirawat dengan segera, tumbesaran seseorang kanak-kanak terjejas.

3. Cacing Pita

Jangkitan berlaku apabila seseorang memakan daging yang dijangkiti larva cacing. Bagaimanapun, ia jarang berlaku dan biasanya hanya dialami individu yang kerap makan daging atau produk berasaskan daging.

Gejala jangkitan termasuk penurunan berat badan tanpa sebab, hilang selera makan, perut buncit dan sebahagian daripada cacing terkeluar apabila membuang air besar.

4. Cacing Cangkuk

Lazimnya menjangkiti penduduk luar bandar dan kurang kemudahan kebersihan. Kanak-kanak berumur di antara lima hingga 15 tahun paling berisiko tinggi dan biasanya jumlah cacing di dalam usus mereka lebih banyak berbanding orang dewasa.

Jika jangkitan tidak serius, ia tidak menunjukkan sebarang kesan tetapi kanak-kanak boleh mengalami cirit-birit berdarah dan kadangkala dubur terkeluar jika jangkitan sampai ke peringkat serius. Malah, kanak-kanak juga kelihatan pucat dan tidak sihat akibat kekurangan zat.

5. Cacing Benang

Paling biasa berlaku pada kanak-kanak berumur di antara lima hingga 14 tahun. Walaupun jangka hayat cacing ini pendek, pesakit biasanya mendapat jangkitan berulang.

Cacing benang sangat halus dan kecil, berukuran di antara dua hingga empat milimeter sahaja, berwarna putih dan biasanya ditemui dalam satu kumpulan. Ia tinggal di dalam usus besar dan gejala gatal pada dubur akibat pengeluaran telur.

Apabila kanak-kanak menggaru duburnya, telur tadi berpindah ke jari dan kuku. Selain gatal pada dubur, pesakit akan mengalami anemia, cirit-birit, muntah, letih dan hilang selera makan, batuk dan sukar bernafas – Sumber artikel Utusan Online

Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak-anak membesar dengan sihat dan ceria.

Jika anda mengesan anak-anak menunjukkan perubahan ketara daripada aspek fizikal dan mental mungkin mereka mengalami masalah cacing.

Penting untuk ibu bapa mengenalpasti punca, tanda dan cara mencegah cacing kerana walaupun penyakit kecacingan tidak menyebabkan kematian tetapi ianya akan menjejaskan tumbesaran dan kesihatan anak-anak.

Leave a Reply

error: Content is protected !!