Tujuh Situasi Pemberian Nafkah Kepada Isteri. Suami Tolong Baca….

Suami bertanggung-jawab memberi nafkah kepada isteri mengikut kemampuan masing-masing. Berdosa bagi suami jika menahan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya walaupun isteri bekerja dan pendapatan lebih besar daripada suami, pemberian nafkah kepada isteri tetap wajib diberi.

Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga iaitu, suami yang wajib memberi nafkah, menjaga kebajikan isteri dan anak. Bahkan, jika berlaku perceraian, suami masih wajib memberi nafkah sepanjang isteri berada dalam edah dan nafkah menguruskan anak.

Daripada Hakim bin Muawiyah, daripada ayahnya Muawiyah bin Haidah, ia bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami?

Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Walau bagaimanapun, nafkah tidak bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya. Ada yang kaya dan berkemampuan menyediakan semua keperluan dan ada pula suami yang tidak mampu. Oleh itu, pemberian nafkah kepada isteri adalah mengikut kemampuan masing-masing.

Mesti Baca: Lebih 100 Pasangan Bercerai Setiap Hari 2016

Apa yang penting, suami memberikan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan memberi keselesaan kepada isteri, bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau.

Tujuh Situasi Pemberian Nafkah Kepada Isteri

1) Pertama, suami yang menanggung nafkah meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal dan pembiayaan pendidikan anak. Berdosa bagi suami yang menahan nafkah kepada orang di bawah tanggungannya.

2) Suami dan isteri sama-sama mampu, memiliki pekerjaan dan sumber ekonomi yang kukuh dan saling meredai pemberian antara satu sama lain.

3) Wujud keadaan suami dan isteri kurang berkemampuan. Oleh itu, suami perlu meminta reda isteri terhadap sesuatu yang tidak mampu ditunaikan olehnya. Dalam situasi sebegini wujud harta sepencarian yang merujuk kepada harta benda diperoleh daripada usaha suami isteri.

Pemberian Nafkah Kepada Isteri

4) Sebilangan besar isteri bekerja untuk memberi nafkah kepada ibu bapa, membantu suami dalam perbelanjaan rumah tangga atau mungkin juga untuk diri sendiri. Dalam situasi ini, suami perlu meminta reda isteri, manakala isteri perlu melafazkan reda terhadap nafkah dan lafaz hutang.

5) Menjadi kewajipan suami untuk melunaskan kembali tanggungjawabnya apabila mampu memberi nafkah kepada isteri dan ahli keluarganya walaupun sebelum ini berdepan masalah kewangan.

Mesti Baca: Cara Dan Prosedur Poligami Di Malaysia

6) Suami perlu faham walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami memberikan nafkah zahir tidak hilang secara automatik, biarpun pendapatan isteri jauh lebih besar daripada suami.

7) Isteri perlu memiliki sifat bertimbang rasa, sabar dan memahami pasangan ketika berhadapan dengan kesusahan dan kepayahan mencari nafkah. Oleh itu, isteri dinasihatkan tidak memaksa suami untuk membeli barangan keperluan yang mahal – Sumber artikel Berita Harian Online

 

Dalam apa jua situasi, pemberian nafkah kepada isteri adalah wajib.

Suami hendaklah bekerja kuat sebagai ketua untuk menyara kehidupan keluarga dan bagi isteri yang bekerja tidak salah jika mahu membantu suami asalkan isteri redha.

 

 

 

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!