5 Amalan Sunnah Bulan Ramadhan, Mudah Tetapi Besar Ganjarannya.

Umat Islam seluruh dunia sudah tidak sabar lagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Di Malaysia, kita dijangka mula berpuasa Ramadhan pada 06 Mei 2019 (Isnin). Bulan Ramadhan adalah bulan meraih pahala sebanyak mungkin dengan melakukan amalan sunnah. Banyak amalan sunnah yang mudah diamalkan dengan ganjaran pahala yang besar. Apakah di antara amalan sunnah bulan Ramadhan yang boleh dilakukan?

Sebelum kita mengetahui amalan sunnah sepanjang bulan Ramadhan, mari kita hafal niat berpuasa Ramadhan dan doa berbuka puasa terlebih dahulu.

Niat Puasa Sebulan Dan Niat Puasa Hari-Hari

Niat Berbuka Puasa Ramadhan

Buat 5 Amalan Sunnah Bulan Ramadhan Yang Mudah Tetapi Besar Ganjarannya.

Selain berpuasa dan menunaikan solat tarawikh, ada juga beberapa amalan sunnah bulan Ramadhan yang boleh dilakukan untuk mendapat lebih banyak ganjaran di bulan yang mulia ini.

1. Bersahur

Bersahur bukan sahaja dapat memberikan tenaga untuk menahan lapar dan dahaga sehingga waktu berbuka tetapi juga mempunyai keberkatan seperti sabda Rasulullah SAW;

“Bersahurlah kalian kerana pada sahur itu ada keberkatan” (HR Bukhari)

2. Banyakkan Berdoa

Banyakkan berdoa semasa bulan Ramadhan kerana doa orang berpuasa sangat mustajab di sisi Allah SWT.

Daripada Abdullah Bin ‘Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak” (HR Ibn Majah)

3. Memberi Makan Orang Berbuka/Banyak Bersedekah

Rezeki hendaklah dikongsikan bersama dengan orang yang tidak berkemampuan. Rasulullah SAW bersabda;

“Barangsiapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (HR Nasa’i dan Tirmidzi)

Selain itu, banyakkan bersedekah semasa bulan Ramadhan, sikit atau banyak bukan ukuran yang penting ikhlas mencari keredhaan Allah SWT.

Mesti Baca: Roh Balik Rumah Bulan Ramadhan. Benarkah Begitu?

amalan sunnah bulan Ramadhan

4. Segera Berbuka Apabila Masuk Waktu

Selepas sepanjang hari menahan lapar dan dahaga, apabila masuk sahaja waktu, segeralah berbuka puasa. Ini sangat dianjurkan Rasulullah SAW yang bersabda;

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka” (HR Bukhari dan Muslim)

Ketika berbuka, makanlah benda yang ringan dahulu seperti buah kurma atau minum air, kemudian terus menunaikan solat Maghrib. Selepas itu, bolehlah mengambil makanan yang berat cuma tidak terlalu kenyang sehingga tidak berdaya untuk menyertai solat Isyak dan Tarawikh berjemaah.

5. Berjaga Malam Untuk Beribadat Demi Mendapatkan Lailatul Qadar

Dalam bulan Ramadhan, ada satu malam yang memiliki keistimewaan iaitu malam Lailatul Qadar yang tidak diketahui bila ianya akan terjadi kecuali Allah SWT. Daripada Aisyah RA berkata;

“Apabila masuk 10 akhir Ramadhan, baginda akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya, dan mengejutkan ahli keluarganya” (Sahih Al Bukhari)

Malam Lailatul Qadar adalah rahsia Allah, tiada siapa yang tahu bila ianya datang dalam bulan Ramadhan tetapi menurut pendapat ulama, malam Lailatul Qadar jatuh pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan, pada satu malam ganjil iaitu malam ke-21, 23, 25, 27 atau 29.

Sumber

Itulah di antara 5 amalan sunnah bulan Ramadhan yang mudah dilakukan tetapi besar ganjarannya.

Semoga kita sempat mendapat Ramadhan tahun ini dan tunaikan ibadat tersebut dengan sempurna sehingga menyambut hari kemenangan iaitu hari raya Aidilfitri.

Leave a Reply

error: Content is protected !!