Ganjaran Solat Tarawih Setiap Malam Adalah Palsu?

Biasa dengar atau terima mesej ganjaran solat Tarawih setiap hari dalam bulan Ramadhan iaitu dari malam pertama sehingga malam ke-30?

Solat Tarawih adalah satu keistimewaan yang tidak terdapat dalam bulan lain di dalam Islam. Ia hanya ditunaikan dalam bulan Ramadhan yang mulia sebagai pakej untuk umat islam meraih pahala sebanyak mungkin.

Walaupun solat Tarawih bukan wajib (sunat muakkad yakni sunat yang dituntut), sayang sekali jika mengabaikannnya. Jika tidak sempat berjemaah, solat Tarawih juga boleh dikerjakan bersendirian.

Merujuk kepada mesej yang biasa kita terima, baca atau dengar berkenaan ganjaran solat Tarawih malam pertama sehingga malam ke-30, adakah ianya benar?

Ganjaran Solat Tarawih Malam Pertama Sehingga Malam ke-30 Palsu?

Sebelum kita melihat kebenarannya, mari kita lihat semula apakah mesej yang sering diterima berkenaan ganjaran pahala yang berbeza-beza solat Tarawih setiap hari daripada malam pertama sehingga malam ke-30?

Ganjaran Solat Tarawih Setiap Malam

Mesti Baca: 5 Amalan Sunnah Bulan Ramadhan

Apabila kita baca kelebihan setiap malam solat Tarawih daripada malam pertama sehingga malam ke-30, secara tidak langsung akan menambah semangat untuk bersolat Tarawih setiap malam untuk meraih ganjaran tersebut.

Persoalannya di sini, adakah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Sayidina Ali Abu Talib RA tersebut sahih?

Bukti Ganjaran Setiap Malam Solat Tarawih Adalah Palsu!

Hadith ini adalah palsu lagi dusta di atas nama Nabi SAW dan juga sahabat baginda SAW iaitu Ali bin Thalib. Di samping itu, haram bagi kita menyebarkannya kepada orang lain.

Ini kerana, telah jelas tanda-tanda atau ciri-ciri kepalsuan hadith tersebut seperti yang telah digariskan oleh para ulama’. Antara ciri-ciri hadith palsu adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Qayyim di dalam karyanya:

Hadith palsu itu antara cirinya ialah padanya terdapat unsur berlebih-lebihan dalam menetapkan pahala dan dosa.

Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah”. [Lihat: al-Manar al-Munif, 51]

Mesti Baca: Roh Balik Rumah Bulan Ramadhan. Benarkah Begitu?

Berdasarkan pernyataan Ibn Qayyim ini, kita dapat melihat di dalam hadith ini bahawa ganjaran solat Tarawih yang ditetapkan bagi sesiapa yang melaksanakan solat tarawih padanya ciri tersebut iaitu berlebihan dalam penetapan ganjaran bagi amalan tersebut. Selain itu juga, hadith ini dikatakan bercampur dengan hadith-hadith yang lain.

Kesimpulannya, hendaklah kita mengenalpasti akan kesahihan sesebuah hadith sebelum ia disebarkan kepada orang lain. Ini kerana, ancaman Nabi SAW terhadap orang yang berdusta di atas nama baginda SAW adalah amat berat iaitu neraka.

Untuk menceritakan akan kelebihan kita berqiyam di malam Ramadhan, di sana terdapat sebuah hadith yang sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam kitabnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan karena keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 36]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melakukan amal dan ibadah kepada-Nya serta memelihara kita daripada melakukan pendustaan di atas nama Rasulullah SAW. Amin.

Sumber

Leave a Reply

error: Content is protected !!