Harta Hibah Bukan Harta Pusaka?
Apabila menyebut soal harta, antara isu hangat adalah berkaitan pemberian harta tersebut tidak kira pemilik harta masih hidup atau telah meninggal dunia. Tahukah anda walaupun pemilik harta meninggal dunia, ada sesetengah hartanya BUKAN harta pusaka?
Lazimnya apabila pemilik harta telah meninggal dunia, hartanya menjadi harta pusaka dan hendaklah dibahagikan kepada pewaris yang berhak mengikut hukum faraid atau muafakat di antara waris.
Tetapi, ada sesetengah kes, waris tidak dapat menuntut harta peninggalan orang tuanya kerana telah diselesaikan semasa masih hidup.

Mesti Baca: Anak Tidak Sah Taraf. Boleh Ke Bin/Binti Kepada Bapa?
Tetapi, bagaimana jika pemilik harta masih hidup dan hendak memberikan hartanya kepada orang lain sama ada waris atau bukan waris?
Peringatan terutama kepada ibu bapa yang memiliki anak tidak sah taraf atau anak angkat, anak anda TIDAK layak mewarisi harta pusaka, jadi apakah yang boleh anda lakukan untuk anak tersebut mendapat harta anda?
Jawapannya adalah HIBAH.
Hibah ialah pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris.
Perlu diingat, kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah bukan harta pusaka lagi (terkeluar) dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.
Semua orang wajar mempelajari hukum faraid dan hibah dengan mendalam secara berguru dan dapatkan nasihat daripada mereka yang bertauliah serta tidak menggunakan perkara ini untuk mencari keuntungan.

Harta Yang Telah Hibah Bukan Harta Pusaka
Hibah ada dua jenis iaitu:
1. Hibah mutlak
2. Hibah bersyarat (umra dan ruqba)
Di bawah hibah mutlak, ia berkuat kuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hak milik sudah dibuat, ia terus menjadi hak si penerima. Penerima berhak membuat apa saja dengan haknya termasuk menjualnya. Dari sudut faraid pula, sekiranya penerima meninggal dunia, ia menjadi harta pusaka penerima.
Hibah bersyarat pula penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama.
Boleh menggunakan hibah bersyarat. Sekali lagi, kita buatlah surat hitam putih sebagai bukti. Saksi adalah pilihan. Dalam surat hitam putih itu ditulis, hibah ini berkuatkuasa sebaik pemberinya meninggal dunia dan sekiranya penerima yang dipilih itu mati dahulu, ia kembali kepada pemberi supaya boleh diberikan kepada penerima baru. Jadi tidak wujud kerisauan sekiranya penerima mati dahulu daripada pemberi dengan menggunakan hibah bersyarat ini.
Mesti Baca: Cara Menyelesaikan Tanah Pusaka Banyak Nama Dalam Geran
Mesti Baca: Status Orang Hilang. Bagaimana Mengesahkan Mereka Mati?
Mesti Baca: Panduan Membuat Wasiat Dan Hibah Harta Pusaka
Jelas di sini, apabila dibuat hibah, harta pemilik tersebut bukan harta pusaka lagi.
Di sini pentingnya pengetahuan pemilik harta untuk membuat hibah kepada sesiapa yang dikehendakinya kerana ada beberapa keadaan harta pusaka tidak dapat diberi terutama kepada anak angkat atau anak tidak sah taraf.
Itulah kebaikan HIBAH!