Hukum Bernikah Wanita Hamil Akibat Zina
Banyak sungguh persoalan melibatkan hukum bernikah wanita hamil akibat zina. Kalau lihat di media sosial dan carian di internet memang banyak yang bertanyakan isu yang sensitif ini.
Manusia memang tidak dapat lari daripada membuat kesilapan yang berpunca daripada kelalaian sendiri tetapi jalan kembali sentiasa terbuka bagi yang menyedarinya.
Apa Hukum Bernikah Wanita Hamil Akibat Zina? Sah Atau Tidak?
Merujuk persoalan ini, perkara ini khilaf dalam kalangan ulama. Dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu SAH.
“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak) , berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.”
Rujuk Kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (29/338)
Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ
Maksudnya: Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya).
Mesti Baca: Anak Tidak Sah Taraf Boleh Atau Tidak Bin/Binti Kepada Bapa?
Mesti Baca: Yahudi Bersedia Tunggu Hari Kiamat. Lihat Apa Mereka Dah Buat!
Daripada Ibn Umar, sabda Rasulullah SAW:
لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ
Maksudnya: Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal. (Riwayat Ibn Majah)
Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana nikah.
Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab RA bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya. Umar bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung.
Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab (16/241-242)
Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah memutuskan wanita yang hamil luar nikah HARUS dinikahkan tetapi anak yang dikandung terbatas dengan beberapa perkara iaitu:
- Tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,
- Tidak dapat pusaka daripadanya,
- Tidak menjadi mahram kepadanya
- Lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.
Sebab itu Allah melarang perzinaan kerana implikasinya melibatkan keturunan. Apa pun, anggota masyarakat JANGAN sesekali menghina, mencaci atau menjatuhkan maruah anak luar nikah kerana mereka TIDAK BERSALAH. Jangan menghukum anak luar nikah di atas dosa ibu bapanya.
Sekali lagi, admin tekankan yang hukum bernikah wanita hamil akibat zina adalah SAH. Jangan pula ada yang memandai-mandai buat hukum sendiri. Rujuk dahulu dengan pihak berwajib jika ada sebarang kemusykilan.