Gugur Bayi Dalam Kandungan Boleh Dengan Alasan…..

Gugur bayi dalam kandungan dianggap satu perbuatan “jahat” kerana ianya diibaratkan seperti membunuh namun ada alasan tertentu yang membolehkan janin digugurkan.

Untuk pengetahuan, hukum menggugurkan bayi dalam kandungan dibahagikan kepada dua iaitu:

  • menggugurkan kandungan sebelum berusia empat bulan
  • menggugurkannya selepas berusia empat bulan.

Jadi, dalam keadaan bagaimana gugur bayi dalam kandungan dibenarkan? Ada beberapa hukum dan keadaan yang perlu dilihat.

Sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (‘alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh.” (Riwayat al-Bukhari – 3208) dan Muslim – 2643)

Mesti Baca: Masih Gagal Hamil? Semak 10 Tanda Kemandulan

Kandungan dalam perut ibu ditiupkan roh selepas empat bulan. Jadi, bagaimana hukum menggugurkan bayi dalam kandungan yang KURANG daripada empat bulan? Ada tiga hukum yang menjadi perdebatan iaitu:

  • Majoriti ulama mengatakan Haram
  • Sebahagian mengatakan Makruh
  • Sebahagian mengatakan Harus

Bagaimanapun gugur bayi dalam kandungan SELEPAS berusia empat bulan, ulama bersepakat hukumnya haram kerana pada usia itu, roh sudah ditiupkan ke dalam kandungan ibu.

Gugur Bayi Dalam Kandungan Boleh Dengan Alasan…..

Walaupun ulama mengatakan menggugurkan bayi dalam kandungan selepas empat bulan HARAM tetap ianya menjadi HARUS jika kandungan tersebut boleh mengancam nyawa ibunya. (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah – 2/57)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:

  • Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang sudah berusia lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang sudah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.
  • Makruh menggugurkan janin berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada suami dan isteri.
  • Ijmak Fuqaha’ berpendapat, hukum pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah mengambil keputusan bahawa haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa berkenaan, gugur bayi dalam kandungan berusia empat bulan ke atas HARAM kecuali pengguguran itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan teruk selain selepas mendapat nasihat daripada pakar perubatan yang bertauliah.

Dapatkan pandangan daripada pakar perubatan mengenai kedudukan bayi di dalam kandungan dan kesan yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi jika bayi di dalam kandungan itu tidak digugurkan.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber Artikel

Jelas tak hukum berkaitan gugur bayi dalam kandungan?

Hukum ini melibatkan pasangan yang berkahwin secara sah sahaja. Jika mengugurkan bayi BUKAN daripada perkahwinan yang sah, hukumnya pasti HARAM tanpa banyak soal.

Leave a Reply

error: Content is protected !!