Hukum Suami Mengaku Bujang. Jatuh Talak Tak?

Orang kata lelaki kalau bercakap dengan perempuan selain isteri memang lembut gigi daripada lidah. Malah, ada lelaki yang sudah berkahwin sanggup mengaku masih bujang semata-mata untuk menarik perhatian perempuan lain. Mengapa tergamak begitu? tidak terfikirkah anak isteri di rumah? Apa hukum suami mengaku bujang? adakah menjejaskan ikatan perkahwinan?

Bagi mendapatkan penjelasan berkaitan hukum suami mengaku bujang ini mari kita membaca jawapan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hukum Suami Mengaku Bujang

Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:

1. Sighah Sarih

Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kaimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talaq. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Mesti Baca: Hukum Makan Masakan Orang Bukan Islam

2. Sighah Kinayah

Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu.

Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “engkau telah kosong,” “engkau bebas,” “baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “engkau telah halal.

Kalau Suami Mengaku Bujang. Jatuh Talak Tak?

Dalam kes diatas, hukum suami mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:

• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

Begitulah seterusnya.

Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak. Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripada sebarang kekeliruan.

Sumber

Melihat kepada jawapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di atas, jelas hukum suami mengaku bujang TIDAK jatuh talak.

Tetapi, jangan jadikan ianya alasan untuk bergurau senda dengan perempuan lain. Bayangkan jika isteri mendengar gurauan tersebut pasti mengguris perasaannya.

Bahaya bergurau mesra dengan perempuan selain isteri kerana orang kata bertepuk sebelah tangan tidak jadi. Faham tak?

Leave a Reply

error: Content is protected !!