Jaga Ibu Bapa Nyanyuk Bukan Senang. Ini Caranya.
Menjaga ibu bapa yang sudah tua adalah tanggungjawab anak-anak. Selagi hayat mereka dikandung badan, jangan sesekali abaikan amanah menjaga mereka. Selain tanggungjawab, ibu bapa adalah kunci rezeki kepada anak-anak. Namun, pernah tak kita melihat cabaran yang dihadapi bagi anak yang menjaga ibu bapa yang sudah nyanyuk? Memang besar dugaannya, menguji kesabaran dan itu juga di antara punca ibu bapa akhirnya terlantar di Rumah Orang Tua-Tua. Jaga ibu bapa nyanyuk BUKAN senang tetapi itu bukan alasan untuk anak menjadi derhaka dan melepaskan tanggungjawab tersebut.
Bayangkan di antara cabaran menjaga ibu bapa yang nyanyuk boleh merenggangkan hubungan anak dengan ibu bapa serta suami isteri kerana kerenah orang tua nyanyuk memang tidak boleh diramal. Perbuatan mereka boleh menimbulkan “perang” jika tidak dikendalikan dengan baik.
Apapun alasannya, anak-anak mesti sentiasa beringat, orang tua boleh menjaga dan membesarkan 10 orang anak tanpa mengenal erti penat. Mengapa kita sebagai anak tidak boleh menjaga kebajikan mereka apabila sudah tua? Ibu bapa hanya ada SATU. Perginya mereka meninggal dunia nanti, kita tidak akan dapat berjumpa mereka lagi sampai hari kiamat. Itupun jika dapat jumpa mereka di “sana” nanti.
Jaga Ibu Bapa Nyanyuk Bukan Senang. Ini Caranya.
Sementara ibu bapa masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih ada, inilah masanya kita sebagai anak berbakti. Curahkan kasih sayang seperti mana mereka menyayangi kita semasa kecil dahulu. Jika mereka sudah nyanyuk, memang satu cabaran besar yang menguji tahap kesabaran tetapi ada cara jaga ibu bapa nyanyuk. Selain bertanya kepada mereka yang berpengalaman cuba cara-cara berikut:
1. Belajar cara berinteraksi
Orang yang mahir dalam aspek komunikasi juga masih perlu belajar untuk berinteraksi dengan ibu bapa yang ada masalah nyanyuk.
Tiada orang yang dilahirkan dengan kemahiran berinteraksi dengan pesakit nyanyuk, tetapi kita boleh mempelajarinya.
Menambah baik kemahiran komunikasi dapat membantu penjaga atau anak mengurangkan tekanan dan membaiki kualiti hubungan dengan insan tersayang. Kemahiran komunikasi yang baik juga dapat meningkatkan kemampuan menangani perangai ‘sukar’ yang mungkin dihadapi ketika menjaga ibu atau bapa nyanyuk.
2. Tetapkan mood positif untuk berinteraksi
Sikap dan bahasa tubuh anda menyampaikan perasaan dan fikiran lebih kuat berbanding kata-kata. Tetapkan mood positif menerusi percakapan yang penuh hormat dan menyenangkan. Guna ekspresi muka, nada suara dan sentuhan fizikal untuk bantu sampaikan mesej dan menunjukkan perasaan.
3. Dapatkan perhatian mereka
Kurangkan gangguan dan kebisingan misalnya dengan memadamkan suis radio dan TV, tutup langsir atau pintu, atau bawa mereka ke persekitaran lebih senyap. Sebelum bercakap, pastikan anda dapatkan perhatiannya, sebut nama atau panggilannya, perkenalkan diri dan hubungan anda dengannya serta guna isyarat bukan verbal dan sentuhan untuk kekalkan fokus mereka. Jika mereka duduk, turunkan badan setara dengannya dan kekalkan hubungan mata
4. Sampaikan mesej secara jelas dan gunakan ayat yang mudah
Jaga ibu bapa nyanyuk juga memerlukan kita bercakap perlahan dan jelas, elakkan meninggi atau menguatkan suara. Jika mereka tidak faham pertama kali, guna ayat yang sama untuk mengulangi mesej atau soalan. Jika masih tidak faham, ambil masa beberapa minit untuk membina struktur ayat. Gunakan nama orang dan tempat berbanding kata ganti nama.
Mesti Baca: Masih Ada Orang Tua? Baca Nasihat Jasmin Hamid.
5. Tanya soalan ringkas dan mudah dijawab
Tanya satu soalan pada satu masa dengan jawapan ya atau tidak adalah terbaik. Elakkan pertanyaan yang memerlukan jawapan panjang atau beri terlalu banyak pilihan.
6. Dengar dengan pandangan, pendengaran dan hati
Bersabar menunggu jawapan insan tersayang. Jika mereka agar sukar beri jawapan, cadangkan mereka perkataan. Lihat isyarat bukan verbal dan bahasa tubuh dan beri maklum balas sebaiknya.
7. Ingatkan saat indah yang pernah dilakukan bersama
Mengingati masa lampau selalunya aktiviti yang menyenangkan mereka. Ramai pesakit nyanyuk mungkin tidak ingat apa yang berlaku 45 minit lalu, tapi mampu mengingat dengan jelas kehidupan mereka 45 tahun lalu.
Oleh itu, elakkan bertanya soalan yang memerlukan memori jangka pendek seperti bertanya apa yang dimakan ketika makan tengah hari sebaliknya cuba tanya soalan umum mengenai kisah silam mereka. Maklumat ini biasanya masih kekal dalam ingatan.
8. Kekalkan unsur jenaka
Gunakan jenaka apabila perlu ketika jaga ibu bapa nyanyuk, penghidap nyanyuk cenderung mengekalkan kemahiran sosial mereka dan biasanya merasa senang untuk ketawa bersama anda.
9. Bahagikan aktiviti anda kepada beberapa langkah atau bahagian
Ini akan memudahkan ibu bapa anda untuk terbabit dalam aktiviti yang dirancang. Anda boleh menggalakkan ibu atau bapa melakukan perkara yang dia boleh lakukan. Jika dia terlupa, beritahu langkah yang perlu diambil. Kaedah ibu bukan saja akan merangsang komunikasi bahkan akan menambah rasa kasih anda kepada insan yang banyak jasanya itu.
10. Sentiasa tunjukkan sikap prihatin
Pesakit nyanyuk sering berasa keliru, resah dan tidak pasti dengan diri sendiri. Mereka juga sering keliru antara realiti dengan perkara yang tidak berlaku. Jadi, di sinilah anda perlu memberi keyakinan kepada mereka. Elakkan daripada mengatakan mereka salah, sebaliknya beri sokongan dan keyakinan. Kadang kala dengan memegang tangannya, memeluknya dan memujinya akan merangsang ibu atau bapa membalas percakapan anda.