Menu

Biarpun Umur 3 Tahun, Jangan Marah Anak Depan Orang

Anak-anak adalah penyeri dalam rumah tangga. Tipulah pasangan berkahwin tidak mahu kehadiran anak dalam hidup mereka. Namun, membesarkan anak sangat mencabar terutama dalam dunia moden terutama bagi ibu bapa yang bekerja, tetapi itu bukan alasan untuk menjadikan anak tempat melampiaskan kemarahan. Naluri anak kecil memang suka bermain dan membuat rumah bersepah, sebagai ibu bapa hendaklah banyak bersabar dan jangan menyinga membabi buta. Paling penting jangan marah anak depan orang lain dan memalukan mereka walaupun baru berusia 3 tahun.

Niat ibu bapa mungkin untuk mengajar anak kebaikan tetapi boleh jadi anak menerima mesej itu berlainan. Dia belajar mengenai benar atau tidak perbuatannya ditentukan ‘mood’ atau suasana hati orang tua ketika itu.

Kadangkala dia ‘disambut’ dengan kemarahan tanpa belas kasihan. Akibatnya, anak menjadi bingung kerana ibu bapa tidak memahami keadaan serta tidak mengizinkannya mengambil keputusan.

Fikiran dan jiwanya akan berkecamuk dan lama-kelamaan dia ada kecenderungan untuk memberontak, melawan, keras kepala, lemah pendirian, ragu-ragu dan mudah terikut-ikut kerana penakut.

Sebelum Marah Anak Depan Orang, Pernahkah Terfikir…..

Sebelum memilih kaedah hukuman, tanyalah diri sejauh mana kita menunaikan hak anak kita? Nabi SAW sangat menjaga hak anak.

Daripada Sahl bin Saad, Rasulullah SAW pernah diberikan minuman. Baginda meminumnya sedikit. Di sebelah kanan Baginda ada seorang anak kecil manakala di sebelah kirinya ada orang tua.

Mesti Baca: 10 Kesilapan Ibu Bapa Ketika Membesarkan Anak

Mesti Baca: Kesan Pelukan Ibu Bapa Menjadikan Anak Lebih Hebat

Baginda bertanya kepada anak kecil itu, “Adakah engkau rela jika minuman ini aku berikan kepada mereka (terlebih dahulu)?” Anak kecil itu menjawab, “Aku tidak rela ya Rasulullah. Demi Allah, aku tidak akan mengizinkan siapapun merebut bahagianku daripadamu.” Rasulullah SAW pun meletakkan minuman itu di tangan anak kecil berkenaan.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Lihat bagaimana sikap Rasulullah SAW dalam memberikan hak kepada yang berhak. Bahkan, menjadikan anak itu berasa dirinya berharga.

Kalau Sudah Marah Anak Cara Baik Tetapi Masih Degil, Ini Caranya…

Kalau ibu bapa sudah marah anak cara baik dan berlembut tetapi masih sambil lewa melakukan kesalahan, apa yang perlu kita lakukan? Di sini disenaraikan cara menghukum anak mengikut kaedah islam iaitu:

• Jelaskan niat kita menghukum.

Minta perlindungan Allah SWT daripada api kemarahan yang berasal daripada syaitan. Hukuman bukan seksaan atau luapan emosi. Tindakan daripada niat yang jelas akan dibimbing Allah SWT supaya tidak melampaui batas.

• Hukuman mampu membuatkan anak mengenali mana yang betul dan salah.

Setiap perbuatan ada sebab dan akibat. Apabila anak meminta maaf, tunjukkan sikap positif dan jangan berlebihan memberikannya tekanan.

• Jaga aib dan harga diri anak.

Walaupun dia baru berusia tiga tahun, usah malukan dirinya di hadapan orang lain.

• Hukum dengan berpada-pada.

Ibu bapa boleh menghukum anak tetapi jangan dicederakan jiwa dan fizikalnya dengan kesakitan.

• Dahului dengan kasih sayang dan akhiri dengan hukuman.

Beritahu anak kita terpaksa menghukumnya kerana sayang. Selepas menghukum, usah biarkan dia tidur dalam kesedihan tanpa diakhiri episod bermaaf-maafan.

Sumber Artikel

Anak untuk dikasihi bukan menjadi tempat melepaskan amarah. Jika kita mendidik dengan kasih sayang dan mengikut landasan agama, insyaAllah anak akan menjadi seorang yang mendengar kata dan menghormati orang tua.

Apapun, jangan sesekali marah anak depan orang lain dan memalukan mereka walaupun baru berusia 3 tahun kerana mereka juga mempunyai perasaan. Bayangkan kita dimarahi depan orang lain? bagaimana rasanya?

Leave a Reply

error: Content is protected !!