Restoran Terbuka Antara Kawasan Larangan Merokok Mulai Disember 2018
Mulai Disember 2018, merokok akan menjadi kesalahan di tempat-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok seperti restoran terbuka dan parlimen.
Sebelum ini, perokok dikejutkan dengan kemungkinan harga rokok naik sebaik sahaja SST dikuatkuasakan bermula 01 September 2018.
Pendek kata, ruang untuk perokok melepaskan gian mereka semakin sempit bukan sahaja kerana kenaikan harga rokok tetapi tempat untuk merokok secara bebas juga tidak seperti dahulu lagi.
Memang sesetengah perokok mengabaikan kesihatan orang lain yang tidak merokok terutama kepada ibu mengandung dan kanak-kanak.
Sebagai contoh, perokok bebas menghembus asap dalam kawasan restoran yang terdapat pelbagai golongan umur. Sepatutnya, mereka melihat dahulu sekeliling sebelum melepaskan asap rokok dan menghormati orang lain yang tidak merokok.
Restoran Terbuka, Parlimen Kawasan Larangan Merokok Mulai Disember 2018
Mulai Disember ini, semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.
Katanya, langkah ini merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.
“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.
“Saya memohon sokongan anda semua. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, mereka terbabit boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Tambah Boon Chye, selain restoran terbuka, pihaknya turut mencadangkan bilik merokok di Parlimen ditutup mulai Oktober ini bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok. Katanya, cadangan ini akan dilaksanakan sekiranya tidak ada sebarang halangan. Baca Berita Penuh
Mana-mana cadangan yang baik kita mesti patuh. Memang merokok secara terbuka di tempat awam merimaskan orang yang tidak merokok.
Perokok boleh memilih untuk merokok jauh daripada orang ramai. Kita kena hormat orang juga 🙂