Menu

Kiamat Manusia Tenggelam Dalam Peluh Sendiri

Pada hari kiamat, matahari didekatkan kepada manusia sehingga sejauh satu mil sehingga ada di kalangan manusia tenggelam dalam peluh mereka sendiri akibat kepanasan melampau.

DARIPADA al-Miqdad bin al-Aswad berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat, matahari didekatkan kepada manusia sehingga sejauh satu mil.”

Sulaim bin Amir berkata, ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang Baginda maksudkan dengan jarak satu mil berkenaan, sama ada ukuran di bumi atau mil yang digunakan untuk bercelak mata (alat celak mata).’

Kiamat Manusia Tenggelam Dalam Peluh Sendiri

Rasulullah SAW bersabda, ‘Lalu mereka berada dalam peluh berdasarkan amal perbuatan mereka, antara mereka ada yang berpeluh sehingga ke tumitnya, ada berpeluh sehingga ke lututnya, ada berpeluh sehingga ke pinggang dan ada benar-benar tenggelam di dalam peluhnya.’

Al-Miqdad berkata, ‘Rasulullah SAW menunjukkan dengan tangan ke mulut Baginda.” (Riwayat Muslim, no 2864).

Tujuh Golongan Mendapat Perlindungan Allah SWT

Suasana di Padang Mahsyar nanti sangat dahsyat. Manusia dibangkitkan dalam keadaan telanjang, terlalu lapar dan haus.

Dengan jarak matahari hanya satu mil di Padang Mahsyar, manusia tenggelam dalam peluh bergantung kepada amalan masing-masing ketika di dunia.

Ada pelbagai keadaan antaranya, peluh itu akan berada setinggi buku lali, ada tenggelam hingga ke lutut, ada yang sampai ke pinggang, malah ada tenggelam dalam peluhnya sehingga sampai ke mulut.

Mesti Baca: Matahari Terbit Dari Barat. Bagaimana Keadaannya?

Mesti Baca: Nama-Nama Neraka Dan Siapa Penghuninya?

Bagaimanapun, pada hari itu tiada sesiapa pun akan mendapat perlindungan melainkan Allah SWT berikan kepada tujuh golongan manusia iaitu:

(1) Pemimpin yang adil

(2) Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadat kepada Allah SWT

(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid

(4) Dua orang saling mencintai kerana Allah SWT, berkumpul dan berpisah kerana Allah SWT juga

(5) Seorang lelaki diajak berzina oleh wanita kaya dan cantik tetapi dia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah SWT’

(6) Seseorang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa diinfakkan tangan kanannya

(7) Seorang yang berzikir kepada Allah SWT pada kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.

Bayangkan betapa dahsyat situasi ketika di Padang Mahsyar nanti. Sedangkan, kepanasan matahari di dunia yang jaraknya dianggar lebih 140 juta kilometer dari bumi pun sudah terasa bahangnya.

Bagaimana pula jika matahari itu berada pada jarak satu mil di atas kepala sehingga manusia tenggelam dalam peluh mereka sendiri.

Selagi hayat masih di kandung badan, semoga kita dapat berusaha menempatkan diri dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat nanti.

Sumber

Leave a Reply

error: Content is protected !!