Lupa Baca Surah Lepas Fatihah, Baca Tak Habis Tak Ingat. Solat Sah Tak?
Ketika solat, selepas bacaan Fatihah, kita dikehendaki membaca surah dalam rakaat pertama dan kedua. Namun, ada masa kita lupa baca surah lepas Fatihah atau baca tak habis, solat sah tak?
Bagaimana situasi ketika itu? Mesti rasa was-was sama ada nak teruskan rukuk, ulang balik baca surah tetapi tetap lupa, tukar surah lain atau solat semula?
Situasi seperti ini biasa dialami individu malah imam di masjid pun tidak terlepas.
Lupa Baca Surah Lepas Fatihah, Baca Tak Habis Tak Ingat. Solat Sah Atau Tidak?
Bagi kita yang berpegang kepada mazhab Syafie, solat sah walaupun terlupa bacaan surah lepas Fatihah atau boleh jadi terlupa dan baca surah tak habis.
Bacaan surah lepas Fatihah bukan rukun dalam solat. Jadi, tidak ada masalah jika terlupa surah yang dibaca. Teruskan sahaja rukuk dan solat seperti biasa.
Hadis Nabi Berkaitan Bacaan Surah Lepas Fatihah
Hukum bacaan surah lepas Fatihah adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat.
Sabda Nabi Muhammad SAW;
“Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah)
Mesti Baca: Hukum Makan Masakan Orang Bukan Islam
Mesti Baca: Ambil Wuduk Tanpa Pakaian. Sah Tak?
Walaupun sunat, kita digalakkan membaca surah lepas Fatihah untuk menambah pahala dalam solat.
Jelas di sini, tiada masalah jika lupa baca surah selepas Fatihah atau baca tak habis kerana tak ingat. Untuk mengelakkan masalah ini berlaku, bacalah surah yang pendek dalam solat dan kita juga boleh tukar baca surah lain kalau terlupa surah yang sedang dibaca.
Solat itu mudah, jangan rumitkan.