Mengapa Kerap Ditimpa Ujian? Habis Satu Datang Yang Lain…
Kadangkala terlintas di fikiran, mengapa diri kita kerap kali ditimpa ujian. Habis satu perkara, datang pula ujian lain. Sebenarnya, setiap ujian itu mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat.
Ujian adalah jalan bagi memudahkan kita masuk ke syurga Allah kelak. Itulah mentaliti yang perlu ditanam dalam diri setiap orang beriman.
Jangan bersangka buruk terhadap ujian kerana jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat mampu memperoleh pahala atas sifat sabar, syukur dan reda?
Syukurlah Ditimpa Ujian Di Dunia, Ia “Jalan” Ke Syurga
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Daripada Anas bin Malik, beliau menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang reda dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. (Riwayat al-Tirmidzi)
Mesti Baca: Cara Menghadapi Kehilangan Orang Tersayang?
Mesti Baca: Ibu Bapa Sudah Tiada? Apakah Mereka Redha Kepadaku?
Begitu juga dinyatakan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” (Surah al-Ahzab, ayat 11)
Bagi orang beriman, setiap ujian itu mempunyai maksud yang baik di sebaliknya. Buat orang yang melakukan dosa, ujian yang mereka hadapi itu sebenarnya adalah sebahagian cara pengampunan dosanya.
Bagi orang beriman, ujian yang hadir dalam hidupnya itu untuk meningkatkan lagi darjatnya di sisi Allah SWT.
Hikmah ditimpa ujian itu menurut golongan muqarrabin ialah Allah SWT melapangkan bagi seseorang supaya dia tidak selalu berasa kesempitan manakala Allah menyempitkan sesuatu supaya orang itu tidak terus hanyut dalam keadaan selesa dan Allah melepaskan kedua-duanya supaya orang itu tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Antara lain hikmah ditimpa ujian itu juga menjadikan seorang hamba itu semakin dekat dan sentiasa mengadu kepada Allah SWT mengenai apa yang ditanggungnya supaya ia didengari.
Setiap orang berbeza ujian yang diterima, sama ada besar atau kecil, yakinlah apabila ditimpa ujian, ianya peringatan daripada Allah supaya kita kembali ke landasan sebenar.
Hidup ini sangat singkat, selagi masih bernafas, berusaha perbaiki diri ke arah lebih baik, jadikan kesilapan yang dilakukan sebagai pengajaran.