Najib PM Facebook Jawab Tuduhan Dengan Fakta.
Ketika Barisan Nasional (BN) tumbang kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada Pakatan Harapan (PH), perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran kritikan semua pihak termasuk pemimpin UMNO sendiri. Beliau dilihat lemah pasca PRU14 dan akhirnya terpaksa melepaskan jawatan Presiden UMNO kerana desakan yang terlalu kuat. Beliau naik turun mahkamah dengan jaminan berjuta-juta ringgit tetapi menghairankan beliau menepis segala tuduhan dengan FAKTA melalui akaun rasmi Facebook sehingga mendapat gelaran Najib PM Facebook.
Datuk Seri Najib menjawab semua tuduhan terhadap beliau dengan fakta yang dilihat meyakinkan. Mungkin ada yang kurang faham setiap penerangan beliau di Facebook tetapi setiap tulisannya dilihat berfakta.
Itu belum lagi dikira “troll” yang beliau lakukan terhadap menteri-menteri, menjadikan menteri yang terlibat sebagai bahan lawak jenaka dan menghiburkan masyarakat.
Satu persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat ketika ini, mengapa Datuk Seri Najib tidak menjawab semua persoalan-persoalan yang dibangkitkan dengan fakta semasa BN masih sebuah kerajaan?
Beliau dilihat ketika itu membisu, mengelak dan mengenakan bermacam-macam tekanan kepada yang bertanyakan tuduhan-tuduhan tersebut. takut? melindungi seseorang atau apa pun sebabnya kita tidak tahu.
Najib PM Facebook Kepada Ketua Pembangkang
Oleh kerana beliau dilihat kembali bangkit dan meraih sokongan segelintir rakyat, mungkin tidak salah beliau dilantik sebagai KETUA PEMBANGKANG yang baru. Mungkin kita dapat melihat beliau berdebat di parlimen dengan lebih berkesan berbanding gelaran Najib PM Facebook ketika ini.
Ketua pembangkang semasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat lemah dan tidak berkesan melaksanakan jawatan tersebut, pengunduran diri sebagai presiden UMNO dilihat semakin menghakis kredibiliti beliau.
Mesti Baca: Apa Cerita 100 Hari Kerajaan Pakatan Harapan?
Pada pendapat admin, selain Datuk Seri Najib, Khairy Jamaluddin (KJ) juga boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua pembangkang tetapi entah mengapa admin melihat KJ seperti duri dalam daging kepada blok pembangkang dengan mengkritik kepimpinan parti sendiri secara keterlaluan. Beliau tidak banyak membela pembangkang tetapi nampak lebih mesra kepada kerajaan. Mungkin KJ ada strategi sendiri, kita tidak tahu.
Apa pun memang seronok tengok Datuk Seri Najib membuat kenyataan balas di Facebook beliau dengan lawak dan “troll” yang mengenakan menteri-menteri. Setiap kenyataan balas beliau disertakan dengan fakta, terpulang kepada rakyat untuk membuat kajian dan menilai fakta-fakta tersebut.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh duduk diam dan goyang kaki sahaja kerana rakyat menilai sejak PRU14. Buat kerja, kurangkan politik dan ingat amanah yang telah rakyat berikan.
Jangan goyang dengan Najib PM Facebook.
Biarkan beliau dengan hantaran-hantaran di Facebook tetapi jangan diam sahaja. Balas dengan fakta juga sebab rakyat menilai.
Jangan jadi kerajaan sepenggal. Mana nak letak muka nanti?