Pakar Sokong PKP Dilanjutkan Beberapa Minggu Lagi
Setakat artikel ini ditulis kita telah memasuki minggu terakhir PKP fasa kedua yang dijangka tamat pada 14 April nanti. Namun, melihat kepada jumlah peningkatan kes positif COVID-19, ramai pakar dan persatuan kesihatan menyokong PKP dilanjutkan beberapa minggu lagi kerana bimbang gelombang ketiga meletus pertengahan April ini daripada kluster rakyat yang baru pulang dari luar negara.
Anggaran 8000 rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan tiba ke negara kita pertengahan bulan ini yang dijangka meningkatkan risiko pertambahan jumlah kes positif COVID-19.
PKP Dilanjutkan Lagi? Tunggu 10 April.
Pakar kesihatan awam berpendirian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan bagi mengekang penularan COVID-19.
Mengambil kira kes kematian yang menjangkau 61 mangsa setakat ini dan pertambahan kes jangkitan baharu setiap hari, pakar menganggap langkah terbaik bagi mengekang penuluaran wabak itu adalah dengan melanjutkan lagi tempoh PKP.
Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata pihaknya menyokong PKP diteruskan untuk beberapa minggu lagi sebagai langkah membendung wabak itu daripada terus merebak.
Katanya, tanpa PKP usaha kerajaan untuk mengekang wabak berkenaan dan memutuskan rantaian jangkitan sukar dilakukan jika dilihat kepada kes jangkitan yang dilaporkan setiap hari.
“Kami sokong jika kerajaan hendak melanjutkan lagi arahan PKP. Tambahan pula kita menerima laporan kemungkinan berlaku gelombang ketiga penularan wabak itu kerana ada kira-kira 8,000 lagi rakyat kita akan pulang pertengahan bulan ini.

“Lagi pun, PKP yang kerajaan laksanakan masih mempunyai kelonggaran untuk rakyat bergerak dari satu daerah ke daerah lain atau ke negeri lain dengan syarat mendapat izin pihak polis,” katanya kepada BH, hari ini.
Mesti Baca: Total Lockdown, Perintah Berkurung, PKPK. Bagaimana Hidup Dalam Situasi Tersebut?
PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini tetapi kerajaan dijangka membuat pengumuman mengenai statusnya sama ada diteruskan atau tidak pada 10 April ini.
Sementara itu, pakar kesihatan awam dan persekitaran, Dr Suhainizam Muhamad Saliludin, berkata langkah melanjutkan arahan PKP amat wajar berikutan masih ada kes jangkitan baharu dilaporkan pada setiap hari selain pewartaan zon PKP Diperketatkan (PKPD) di ibu negara.
Katanya, walaupun situasi penularan wabak COVID-19 ketika ini dilihat agak terkawal, namun setiap hari ada saja kes baharu yang direkodkan sekali gus menunjukkan jangkitan wabak itu masih berterusan.
“Maknanya, dalam komuniti kita hari ini, sudah ada kontak yang membawa jangkitan dan pada masa ini, kita belum dapat membendung wabak ini sepenuhnya.
“Selagi ada kes baharu, saya fikir PKP perlu diteruskan. Ini membabitkan soal keselamatan negara,” kata pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) – Sumber
Keputusan sama ada PKP dilanjutkan lagi selama beberapa minggu akan diketahui pada hari Jumaat, 10 April 2020.
Pemerhatian admin, PKP akan dilanjutkan lagi mungkin sehingga hari raya Aidilfitri nanti kerana kerajaan mahu mengelakkan rakyat berkumpul. Bila namanya perayaan, pasti orang ramai akan berkumpul beramai-ramai di kampung, meningkatkan risiko penularan wabak COVID-19 menjadi tidak terkawal nanti kecuali kerajaan tidak membenarkan langsung rakyat menyambut perayaan secara terbuka, hanya di rumah sendiri.