Pembahagian Pusaka Tanah GSA: Lantik Pentadbir Atau Turunmilik?

Banyak isu tanah yang sering berlaku terutama dalam pembahagian harta pusaka. Waris-waris simati kerap berbalah dalam soal pembahagian pusaka tanah GSA kerana kekurangan maklumat berkenaan undang-undang dan sekatan di bawah Akta GSA 1960.

Sebelum itu apakah dia tanah GSA dan contoh tanah di bawah Akta GSA 1960? Merujuk kepada Laman Web Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan:

  • Akta ini bertujuan memastikan keseragaman undang-undang dan dasar bagi tujuan pelaksanaan kawasan Penempatan berkelompok dan syarat-syarat untuk pemberimilikan dan penempatan tanah di kawasan tersebut serta perkara-perkara lain yang berkaitan.
  • Akta ini telah dipinda pada tahun 2002 dan berkuatkuasa pada 26 December 2002. Rentetan daripada pindaan yang telah dilakukan, pemilikan di kawasan luar bandar dibawah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok boleh diberimilik dan dipegang bersama antara tidak lebih daripada dua orang pemilik.
  • Seksyen yang telah dipinda ialah Seksyen 7, Seksyen12, Seksyen14, Seksyen15. Sementara Seksyen16 telah dikeluarkan daripada Akta tersebut. Borang AA telah diperkenalkan sebagai satu borang baru yang perlu diisi dalam kes pemindahan bahagian milik persendirian kepada isteri, bekas isteri atau saudara pemilik.

Contoh-contoh tanah di bawah Akta GSA 1960 seperti berikut:

  • Tanah Felda
  • Tanah Felcra
  • Tanah Pinggir (Contoh: RTBB, RISDA)
  • Tanah Di Bawah Agensi Kerajaan Negeri (Contoh: Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP)

Tanah GSA diwujudkan kerajaan sebagai salah satu usaha membasmi kemiskinan terutama bagi penduduk kampung tradisional dengan mewujudkan satu penempatan baru secara terancang dengan menyediakan sumber-sumber ekonomi melalui pembukaan ladang-ladang.

Tanah-tanah di bawah Akta GSA 1960 adalah hakmilik berangkai atau berantai. Tanah ladang dan rumah tidak boleh dipisahkan sama ada untuk penjualan, pembahagian harta pusaka atau gadaian.

Contohnya, peneroka Felda yang mahu menggadai tanah ladangnya MESTI menggadaikan sekali tanah rumahnya. TIDAK boleh dipisahkan atau diasingkan.

Pembahagian Pusaka Tanah GSA: Lantik Pentadbir Atau Turunmilik?

Apabila berlaku kematian, urusan pembahagian harta pusaka akan dibuat oleh waris-waris simati. Admin hanya akan menyentuh soal pembahagian pusaka tanah GSA sahaja.

Isu-Isu Pembahagian Pusaka Tanah GSA:

  • Lantik pentadbir atau turunmilik?
  • Berapa orang pentadbir boleh dilantik untuk menguruskan tanah GSA?
  • Berapa bilangan nama boleh dimasukkan dalam hakmilik jika dibuat turunmilik?

Dalam konteks pembahagian pusaka tanah GSA, waris-waris simati WAJIB tahu perkara-perkara penting ini supaya tidak berlaku perbalahan semasa dan selepas urusan pembahagian harta pusaka nanti.

Menjawab Isu-Isu Pembahagian Pusaka Tanah GSA 

Ramai waris simati di kalangan peserta Felda, Felcra, tanah pinggir dan sebagainya kerap terperangkap dalam isu ini. Mahu lantik pentadbir atau turunmilik kepada waris?

Untuk makluman, tanah GSA berbeza dengan tanah kampung yang boleh dimasukkan banyak nama dalam hakmilik. Dalam Akta GSA 1960, hanya DUA nama sahaja boleh dimasukkan dalam hakmilik sama ada sebagai pentadbir atau turunmilik.

Contohnya:

Waris: Abdul Wahab, Abdul Wahib, Abdul Wahub

Jika semua waris di atas setuju melantik pentadbir untuk menguruskan pembahagian hasil ladang, hanya DUA nama yang boleh dimasukkan dalam hakmilik iaitu Abdul Wahab dan Abdul Wahib sebagai pentadbir. Maka, nama Abdul Wahub tidak akan keluar dalam hakmilik terkini yang akan dikeluarkan nanti.

Mesti Baca: Waris Peneroka Felda Layak Tuntut Rm10 Ribu

Jika semua waris di atas setuju tanah diturunmilik kepada Abdul Wahab dan Abdul Wahib, hanya DUA nama akan dimasukkan dalam hakmilik sebagai pemilik mutlak dan tidak boleh disangkal oleh Abdul Wahub di kemudian hari.

Pembahagian Pusaka Tanah GSA

Isu yang mungkin timbul dalam soal pelantikan pentadbir atau turunmilik tanah GSA:

i) Jika dilantik pentadbir, tugas pentadbir hanya mentadbir dan menguruskan hasil ladang. Pentadbir BUKAN pemilik! Segala hasil ladang yang diperolehi hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid atau muafakat seperti yang dipersetujui dalam pembahagian harta pusaka.

Jika pentadbir tidak amanah atau dalam kata lain makan sorang hasil ladang, waris yang lain boleh membatalkan pentadbir bila-bila masa sahaja dengan mengemukakan permohonan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil untuk pelantikan pentadbir baru.

ii) Jika tanah diturunmilik semasa pembahagian harta pusaka, waris yang lain TIDAK dapat menyangkal lagi di kemudian hari kerana namanya tidak ada dalam hakmilik kerana semasa perbicaraan harta pusaka beliau telah setuju menolak haknya kepada waris yang lain. Waris tersebut tidak boleh menuntut sebarang hasil ladang di kemudian hari.

Inilah risikonya, hanya DUA nama boleh dimasukkan dalam hakmilik tanah GSA, jika tidak berfikir panjang semasa pembahagian pusaka tanah GSA, anda akan menyesal di kemudian hari. Ada juga kes waris dipukau atau diugut semasa perbicaraan pusaka supaya menolak haknya.

Mesti Baca: Pembahagian Harta Pusaka Antara Mitos Dan Realiti

Jika ada waris hendak membantah juga, jalan terakhir adalah membawa kes ke Mahkamah Tinggi yang tentunya memakan kos dan masa. Perintah daripada Mahkamah Tinggi boleh membatalkan perintah yang dibuat oleh Unit Pembahagian Pusaka kerana kuasanya yang lebih tinggi dan pembahagian boleh dibuat semula tertakluk kepada budi bicara Mahkamah Tinggi.

Kesimpulannya, berhati-hati, berfikir panjang dan dapatkan maklumat yang tepat ketika pembahagian pusaka tanah GSA seperti Felda, Felcra dan sebagainya.

Sudah banyak kes waris diperdaya ketika pembahagian harta pusaka dan akhirnya menangis tak berlagu…..

Leave a Reply

error: Content is protected !!