Menu

Persediaan Menghadapi Banjir: Tunggu Dan Lihat?

Bila masuk hujung tahun penduduk di kawasan Pantai Timur Malaysia iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan mula risau dengan hujan yang turun hampir setiap hari. Orang cakap masuk musim tengkujuh. Ada yang dah mula buat persediaan menghadapi banjir sebab dah ada pengalaman lepas.

Baca Juga: Fenomena Air Pasang Besar Bawa Banjir

Tak ketinggalan juga agensi kerajaan seperti bomba, jabatan pertahanan awam dan agensi berkaitan dah mula buat latihan menghadapi banjir. Cukuplah pengalaman banjir besar 2014 yang menenggelamkan Pantai Timur. Siapa dapat menduga banjir sebegitu besar akan berlaku lagi?

Persediaan Menghadapi Banjir

Senarai Semak Persediaan Menghadapi Banjir

Sebelum Banjir

  • Peka dengan maklumat mengenai banjir melalui radio, televisyen dan pihak berkaitan
  • Perhatikan saluran perparitan seperti longkang di kawasan sekitar rumah tidak tersekat
  • Simpan dokumen penting dalam bekas kalis air dan simpan di tempat yang selamat atau tinggi
  • Pastikan bekalan makanan dan air bersih yang mencukupi
  • Pastikan bekalan ubat mencukupi bagi yang menghadapi penyakit kronik.
  • Lengkapkan barang keperluan asas penting seperti susu anak, ubat-ubatan, lampu suluh, beg pakaian dan peralatan lain sebelum diarah berpindah.
  • Meletakkan kenderaan di kawasan yang tinggi atau tindak pernah dinaiki air. Kunci kenderaan dengan baik.
  • Simpan nombor telefon yang penting seperti ahli keluarga, jiran, balai polis dan hospital terdekat dan bomba
  • Kebajikan haiwan peliharaan jangan dilupakan. Simpan di tempat selamat kerana haiwan tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas faktor kebersihan dan kesihatan.
  • Dapatkan perlindungan insurans banjir jika mampu

Semasa Banjir

  • Pindah ke pusat penempatan mangsa banjir apabila diarahkan berbuat demikian. Jangan keras kepala.
  • Jangan biarkan kanak-kanak bermain air banjir di luar rumah.
  • Pindahkan peralatan rumah dan barang elektrik ke tempat yang paling tinggi di dalam rumah.
  • Pastikan bawa dokumen penting bersama sekiranya diarahkan untuk berpindah.
  • Pastikan bekalan elektrik, gas dan air ditutup sebelum berpindah
  • Ambil tahu perkembangan banjir melalui radio dan televisyen.
  • Jangan sentuh apa-apa kabel atau wayar yang terjatuh
  • Elakkan keluar rumah dengan meredah banjir jika keadaan tidak mendesak. Tunggu arahan pihak berkuasa.
  • Minum air yang telah dimasak

Selepas Banjir

  • Jangan kembali ke rumah sebelum mendapat arahan
  • Periksa keadaan rumah untuk memastikan keadaannya selamat
  • Masuk ke rumah dengan berhati-hati dan pakai kasut.
  • Perhatikan sebarang binatang berbisa dan guna kayu untuk mengalihkan barangan di atas lantai.
  • Periksa paip gas dan bekalan elektrik dalam keadaan selamat sebelum dibuka
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya virus dan bakteria berbahaya
  • Laporkan kerosakan harta benda awam kepada pihak berkuasa.
  • Buang bahan makanan yang terendam termasuk makanan dalam tin.
  • Pastikan minum air yang telah dimasak
  • Basuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir.

Jangan tunggu dan lihat jika melihat situasi semasa membimbangkan. Jadikan pengalaman lepas untuk lebih bersedia menghadpi banjir kali ini.

Lakukan persediaan menghadapi banjir seperti senarai semak di atas. Ikut arahan pihak berkuasa dan sentiasa peka dengan maklumat banjir terkini.

Leave a Reply

error: Content is protected !!