Menu

Urusan ASB Tidak Perlu Buku Mulai 28 Jun, Kad Pengenalan Cukup..

Ini salah satu penambahbaikan dalam urusan ASB yang admin sangat sokong. Dunia semakin canggih tetapi ASB masih guna buku untuk urusniaga. Mesti ramai yang pernah alami situasi nak keluarkan duit ASB tetapi buku entah hilang ke mana atau lupa letak di mana. Kalau hilang buku ASB kena buat semula, cari masa pula nak pergi buat dan kos penggantian buku lagi. Akhirnya, ASNB tak guna buku lagi, selesai masalah.

Tahniah ASNB kerana memudahkan urusan pelabur! Mulai 28 Jun nanti tak perlu bawa buku pelaburan untuk urusan ASB lagi, hanya bawa kad pengenalan sahaja. Kalau kad pengenalan pun tak tahu letak mana mari sini admin bubuh penampar 18 kali 🙂

Urusan ASB Dengan Kad Pengenalan Sahaja Mulai 28 Jun, Tidak Perlu Buku Lagi

KUALA LUMPUR 8 Jun – Mulai 28 Jun 2017, pelabur Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hanya perlu membawa kad pengenalan untuk berurus niaga dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.

Beliau berkata, langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan ASNB kepada pelabur, berbanding perkhidmatan menerusi sistem sebelum ini.

Mesti Baca: Cawangan ASNB Buka Setiap Sabtu Minggu Ketiga

“Sebelum ini, pelabur perlu membawa buku pelaburan dan kad pengenalan untuk berurus niaga dengan ASNB, terutama untuk urus niaga pengeluaran.

“Pelabur yang kehilangan buku pelaburan pula kadang kala terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan buku baharu kerana ia hanya boleh dibuat di cawangan ASNB sahaja, selain perlu membayar yuran penggantian buku,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Mohammad, ASNB, unit Permodalan Nasional Bhd, akan menaik taraf sistemnya dengan menggunakan “Fund Distribution System” (FDS) menggantikan “Unit Trust System” (UTS).

Oleh itu, urusan ASB akan ditangguhkan sementara pada 23 Jun 2017 untuk tujuan migrasi dan penambahbaikan sistem tersebut.

urusan ASB

“Disebabkan penangguhan berkenaan bersambung terus dengan cuti umum sempena Aidilfitri, ASB hanya akan mula berurus niaga pada 28 Jun 2017 (Rabu),” katanya sambil menambah bahawa sistem urus niaga tanpa buku ini bakal menggunakan satu nombor sahaja.

Katanya, penambahbaikan sistem operasi ini juga membolehkan ASNB meluaskan rangkaian ejen yang menawarkan urus niaga ASB, meliputi Bank Simpanan Nasional, Affin Bank dan Ambank, menjadikan rangkaian cawangan ejen ASNB yang menawarkan ASB kini meningkat kepada 2,262 cawangan.

Mesti Baca: Lebih Sejuta Mykad Hilang Dalam Tiga Tahun

Bagi pelabur di seluruh negara, transaksi ASB hanya ditangguhkan pada 23 Jun 2017, manakala bagi pelabur di Kelantan dan Terengganu, penangguhan urus niaga hanya pada 27 Jun 2017.

“Berikutan penangguhan urusan ASB ini, pelabur dinasihatkan supaya merancang keperluan kewangan dengan membuat transaksi perlu untuk mengelak sebarang kesulitan ketika meraikan Aidilfitri nanti,” katanya.

ASB merupakan tabung unit amanah terbesar negara dan kini mempunyai lebih sembilan juta pelabur yang melanggan kira-kira RM143 bilion unit ASB.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2016, ASB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit – Sumber

Sekali lagi admin nak ingatkan urusan ASB tidak perlu bawa buku lagi mulai 28 Jun nanti, hanya bawa kad pengenalan saja ok 🙂

Leave a Reply

error: Content is protected !!